Isnin, 19 Januari 2009

Legenda Datu Paduka Mat Salleh Berdasarkan Cerita Lisan

Datu Paduka Mat Salleh adalah seorang tokoh pahlawan terbilang di negeri Sabah di zaman penjajahan British. Beliau adalah seorang pahlawan dan Ketua Masyarakat yang berbangsa Suluk - Bajau. Bapanya dikenali sebagai Datu Balu dan merupakan seorang Penguasa atau Ketua di kawasan Sugut. Ibunya berbangsa Bajau dan dipercayai berasal dari Inanam. Mat Salleh adalah tokoh pejuang yang menentang penjajahan British di Sabah. Kegagahan dan kepimpinan beliau bukan sahaja ditakuti oleh pihak Britsih, malahan beliau telah melancarkan penentangan ala-gerila yang menyatukan kaum-kaum bumiputera di Sabah. Belaiu adalah Lambang Perpaduan Rakyat Sabah.

Sewaktu menentang penjajahan British beberapa orang Pahlawan Sukuan telah sama-sama bergabung dan bernaung di bawah Mat Salleh. Antaranya ialah Mat Satur ( Balanini ), Kamuntah ( Suku Illanun ), Kolindod ( Suku Rungus ), Langkap ( Dusun ), Timus ( Bajau Samah ), Pangeran Syahbandar ( Suku Brunai ) dan lain-lain lagi.

Berdasarkan Cerita Lisan yang diceritakan kepada saya oleh Tuan Imam Haji Musa Bin Tuan Imam Haji Jamaluddin (1), imam di Kampung Parapat Laut ( bersebelahan dengan Kampung limau-limauan di Kudat dan pada masa penjajahan British kampung ini adalah sebahagian dari kawasan limau-limauan ) Datu Paduka Mat Salleh bukanlah anak sebenar Datu Balu tetapi adalah anak orang halus atau bunian atau makhluk ghaib. Datu Balu telah menemui Datu Mat Salleh yang masih bayi terapung di atas buih air di sebuah Danau atau Tasik ( lokasi tasik atau danau ini biarlah menjadi rahsia saya buat masa ini ). Bayi ini telah dibawa pulang ke rumah dan dipelihara sebagai bayi manusia biasa. Bayi lelaki ini adalah seorang yang ganjil kerana bahagian atas dalam mulutnya ( alak-alak ) adalah berwarna hitam. Tanda hitam ini dikenali sebagai Pilang dan kedudukannya yang di dalam mulut dipercayai menandakan bahawa apabila dewasa kelak bayi ini akan menjadi orang gagah dan pahlawan terbilang atau dalam istilah bahasa Suluk " Babantugun " dan "Pag Kalallah " dalam Bahasa Bajau Balanini.

Mat Salleh membesar di Sugut dan Inanam bersama-sama anak-anak Datu Balu yang lain iaitu Badin, Santara dan Ali. Apabila dewasa, Mat Salleh telah berguru dengan seorang Pahlawan dan guru agama yang terkenal iaitu Tuan Haji Abdul Rahim atau dikenali juga sebagai Maharaja Untong seorang Raja di Limau-limauan, Kudat ( Ketika itu Kudat belum diasaskan dan masih menjadi sebahagian wilayah Limau-limauan di Teluk Marudu. Kegagahan dan kepahlawanan Tuan Haji Abdul Rahim sangat digeruni oleh lanun-lanun dan beliau terkenal di seluruh Teluk Marudu dan Kepulauan Sulu. Tuan Haji Japalus Bin Tuan Banggunah(2) seorang saksi hidup yang merupakan Wakil Ketua Anak Negeri ( WKAN ) di Kudat menceritakan kepada saya bahawa Ilmu Pitunang Peluru ( sejenis ilmu yang digunakan untuk menembak, memanah atau melontar dengan tepat ) Tuan Haji Abdul Rahim sangat ajaib dan ampuh. Beliau mengatakan apabila hendak menembak Payau ( Rusa ) Tuan Haji Abdul Rahim cukup hanya dengan menembak ke atas langit dan apabila telah melepaskan peluru beliau akan memerintahkan orang-orangnya untuk mengambil Payau yang telah ditelah ditembak di mana-mana sahaja tempat yang disebutnya untuk disembelih. Ilmu Pitunang milik Tuan Haji Abdul Rahim seakan mengikut niat dan ikut cakap. Jika beliau mengatakan kena di paha, maka dipahalah Payau tersebut tertembak, sebaliknya jika diperut maka diperutlah yang terkena tembakan. Tuan Haji Abdul Rahim juga seorang guru ilmu Usul dan Tasauf yang diwarisi secara turun-temurun dari Perguruan Wali Tujuh dari Sulu dan Sabah.

Datu Paduka Mat Salleh juga adalah bersepupu dengan Tuan Haji Abdul Rahim seperti yang diceritakan oleh Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun (3) dan beliau berguru dengan Tuan Haji Abdul Rahim sehingga tamat ilmu dunia dan ilmu akhirat atau ilmu kepahlawanan dan ilmu keagamaan. Datu Paduka Mat Salleh mewarisi ilmu Pitunang, ilmu Tebuan Jadian, ilmu Penunduk Naga, ilmu Pag Datu, Langkah Laksamana, ilmu Perabun, ilmu Perang Saidina Ali, ilmu Sambut Peluru dan berbagai lagi jenis ilmu kepahlawanan.

Datu Paduka Mat Salleh telah berkahwin dengan seorang Puteri Diraja Sulu ( Puteri Sultan Sulu ) yang dikenali sebagai Dayang Bandung dan akhirnya dilantik menjadi Pemerintah atau Raja di kawasan Sugut. Beliau memerintah Sugut dan menjalankan pemerintahannya di Pulau Jambongan. Segala pedagang yang berdagang di perairan Jambongan hingga ke sempadan Sandakan dan di daerah Sugut akan membayar cukai kepada beliau.


Rujukan :

(1). Tuan Imam Hj Musa Bin Tuan Imam Jalaluddin adalah seorang cicit Tuan Haji Abdul Rahim dan neneknya yang benama Aminah adalah seorang yang berbangsa Sungai Puawang di sugut dan bersepupu dengan isteri Haji Abdul Rahim yang bernama Antalas yang mempunyai kaitan keluarga dengan Pak Musa ( Pahlawan Sugut ).

(2). Tuan Haji Japalus Bin Tuan Banggunah mengatakan bahawa Haji Abdul Rahim adalah Pak Cik bapanya. Susur galur keturunannya adalah dari jurai keturunan Tuan Masaik ( Raja Islam Sulu yang Pertama ).

(3). Seperti yang diceritakan dalam Buku Malaysia Baru.

bersambung.... di cerita akan datang bagai mana Mat Salleh berperang ...